________________________________________________________________________________________
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke Blog SMK Menerong. Blog ini disediakan bertujuan untuk memaklumkan aktiviti terkini, gambar dan maklumat yang berlaku di SMK Menerong.Pihak SMK Menerong tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman blog ini.
________________________________________________________________________________________

SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1979, Dato' Musa bin Hitam, Menteri Pelajaran ketika itu yang juga Timbalan Perdana Menteri mengadakan lawatan ke daearah Hulu Terengganu. Semasa berucap di Felda Bukit Bading, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bercadang untuk menambahkan lagi bilangan sekolah menengah di Hulu Terengganu.

Pengumuman itu disambut baik oleh penduduk setempat kerana pada masa itu hanya terdapat sebuah sekolah menengah sahaja di Hulu Terengganu yang terdekat dengan kawasan Hulu Berang iaitu Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan (SMTAI). Penduduk Hulu Berang menghadapi kesukaran untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah menengah di bandar Kuala Berang kerana jarak yang jauh. Lantaran itu mereka mencadangkan agar sebuah sekolah menengah dibina di kawasan Hulu Berang.

Satu kawasan seluas 8 hektar dikenalpasti yang terletak di Kampung Menerong dan jalan tuju ke kawasan perkelahan Belukar Bukit. Kampung Menerong terletak di tengah-tengah kawasan Hulu Berang.

Pada 30 Ogos 1990, dimulakan kerja-kerja pembinaan Sekolah Menengah Menerong (SMMA) yang meliputi 2 blok bangunan sekolah, 1 blok bangunan kantin, 2 blok bangunan asrama, 1 blok bangunan dewan makan dan 6 unit rumah guru. Projek ini telah disiapkan 20 bulan kemudiannya (pada 29 April 1992). Kos pembinaan menelan belanja RM 3,499,192.20. Pada 1 Disember 1992, SMK Menerong mula dibuka dengan bilangan kelas sebanyak 20 bilik darjah, 2 bilik makmal, sebuah perpustakaan, sebuah pejabat dan 3 buah bilik bengkel untuk Kemahiran Hidup.

Semasa sesi pertama persekolahan (01.01.1992) bilangan pelajar di sekolah ini seramai 226 orang. Pelajar-pelajar ini terdiri dari pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sahaja. Bagi pelajar Tingkatan 1, mereka adalah dari sekolah-sekolah rendah di sekitar kawasan Hulu Berang seperti SK Menerong, SK Pereh, SK Betong, SK Kua, SK Lubuk Periok, SK Felda Tersat dan SK Felda Mengkawang. Pelajar-pelajar Tingkatan 2 pula adalah terdiri daripada anak-anak penduduk kampung berhampiran dengan SMK Menerong yang dahulunya bersekolah di SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Ajil dan SMK Matang.

Seramai 15 orang guru yang ditempatkan di sekolah ini termasuk Pengetua iaitu En. Mohd Nor bin Othman, PK1 En. Shamsudin bin Abd. Rahman, PK HEM En. Aziz bin Ibrahim dan dibantu 3 orang kakitangan yang terdiri daripada seorang Pembantu Tadbir Cik Wan Sawiyah binti Wan Yusoff, seorang Pembantu Am Rendah, En. Azman bin Said dan seorang Jaga En. Razak bin Mahmud.
Seramai 160 pelajar ditempatkan di asrama iaitu 80 orang pelajar lelaki dan 80 orang pelajar perempuan. 2 orang guru ditugaskan sebagai warden asrama iaitu En. Anuar bin Muda (Warden Asrama Lelaki) dan Cik Nazifah binti Chik (Warden Asrama Perempuan). Pada bulan Mac 1993, seorang Penyelia Asrama telah ditempatkan di sekolah ini.

Dalam menjalinkan hubungan masyarakat dengan guru, Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan. Pengerusi PIBG yang pertama ialah En. Alias bin Abdul Rahman (sekarang Allahyarham). Semenjak PIBG ditubuhkan banyak sumbangan telah mereka berikan kepada sekolah. Sumbangan-sumbangan ini bukan sahaja berupa wang ringgit tetapi juga buah fikiran.

SMK Menerong berkembang dengan pesat sejak ditubuhkan. Pada tahun 1996, pelajar sekolah ini berjumlah 676 orang dengan bilangan gurunya seramai 38 orang dan 5 orang kakitangan. 2 unit rumah guru lagi telah dibina bagi menampung kekurangan tempat tinggal guru dan kakitangan sekolah ini.

Kini SMK Menerong mempunyai 8 orang Pentadbir dan 61 orang guru dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Sekolah ini juga dibantu oleh 14 orang kakitangan sokongan.

Bil
Nama Pengetua
Tempoh Berkhidmat
1
Encik Mohd Nor bin Othman
16.12.1992 hingga 15.08.2000
2
Encik Osman bin Muda
16.08.2000 hingga 16.07.2004
3
Tn Haji Mat Saad bin Awang
06.10.2004 hingga 31.12.2004
4
YM Tengku Mohd Yusoff bin Tengku Mansor
01.01.2005 hingga 15.07.2007
5
Tuan Haji Kasim bin Abdullah
16.07.2007 hingga 04.02.2008
6
Puan Hajah Maziah binti Chik
05.02.2008 hingga 01.06.2011
7
Puan Hajah Azizah binti Sulong
01.06.2011 hingga 02.07.2012
8
Puan Hajah Kamariah binti Mamat
01.01.2013 hingga sekarang